Adsense

Kementerian Kesihatan Malaysia Arah Pengimport Tarik Balik 2 Produk Ikan Sardin Tin Dari China Dipercayai Mengandungi Cacing




Baru-baru ini tular di media sosial berhubung dakwaan penemuan cacing di dalam produk ikan sardin tin yang diimport daripada China. Laporan tersebut yang mula tular di Indonesia menyebut bahawa Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Indonesia telah mengarahkan tiga pengimport untuk menarik balik produk tersebut daripada pasaran selepas pemeriksaan yang dibuat badan tersebut menemui cacing mati di dalam produk terbabit.




Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah telah mengeluarkan satu kenyataan akhbar untuk memberitahu bahawa pihaknya sentiasa menjalankan pemantauan terhadap semua produk termasuklah produk ikan sardin dalam tin.

Katanya, hasil analisis yang dibuat pihaknya mendapati bahawa dua produk, iaitu Canned Sardines in Tomato Sauce berjenama TL Tan Lung keluaran syarikat Fujian Yongfa Co. Ltd dan Sardines in Tomato Sauce berjenama TLC keluaran syarikat Dongshan Dongyi Foods Co. Ltd. dari negara China didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983 kerana didapati mengandungi benda asing iaitu nematoda (sejenis cacing) daripada Genus Anisakis spp.

Beliau turut memaklumkan bahawa KKM telah pun mengarahkan pihak pengimport untuk menarik semula kedua-dua produk tersebut daripada pasaran tempatan. KKM juga pada masa yang sama terus memantau produk-produk lain yang masuk melalui pintu masuk negara  dan sekiranya didapati melanggar Akta Makanan 1983, tindakan akan diambil.

Melalui kenyataan akhbar yang sama juga, beliau meminta orang ramai untuk berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah jika mempunyai pertanyaan berkaitan produk makanan. Orang ramai juga boleh berhubung dengan KKM melalui laman webnya di http://moh.spab.gov.my/eApps/system/index.do atau melalui facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq untuk sebarang pertanyaan.


Sumber : Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia via siakapkeli

0 Response to "Kementerian Kesihatan Malaysia Arah Pengimport Tarik Balik 2 Produk Ikan Sardin Tin Dari China Dipercayai Mengandungi Cacing"

Posting Komentar